Jumaat, 29 Januari 2010

MAKLUMAN 14: MAJLIS GRADUASI PELAJAR CEMERLANG PMR 2009


Buat julung-julung kali, Majlis Graduasi Pelajar Cemerlang PMR 2009 diadakan di SMK Klebang Besar, Melaka sejak sekolah ini dibuka pada 1 Disember 1992. Majlis bermula jam 7.20 pagi dengan ketibaan YB Datuk Yaakub Md. Amin, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran dan Pengajian Tinggi. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Tuan Pengetua, Puan Azallah Mohd. Salleh dan diikuti dengan ucapan perasmian oleh YB Datuk Hj. Yaakub Md. Amin. Beliau telah menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai kepada semua pelajar cemerlang PMR 2009. Sebanyak 10 orang pelajar memperoleh 8 A dan 11 orang pelajar memperoleh 7A yang merupakan pencapaian terbaik sejak sekolah ini dibuka. Turut hadir Encik Kamarudin Jantan, Pegawai Seranta Pejabat Pelajaran Daerah Melaka Tengah, dan Naib Pengerusi PIBG, Encik Norazman b. Doraman.
Mudah-mudahan majlis yang bertujuan meraikan mereka yang berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan PMR yang lalu akan meningkatkan kesedaran dan komitmen mereka untuk terus berusaha sehingga ke peringkat menara gading. Semoga majlis seumpama dapat membakar semangat dan menjadi rangsangan kepada bakal calon PMR dan SPM tahun ini untuk meneruskan tradisi kecemerlangan di sekolah ini. Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang berjaya mencipta kecemerlangan dan syabas kepada guru-guru yang bertungkus lumus mencurah bakti, serta memastikan kejayaan cemerlang di sekolah ini.

Selasa, 26 Januari 2010

MAKLUMAN 13: PROGRAM SULUHAN MINDA



Beginilah gambaran dan suasana SMK Klebang Besar pada setiap pagi kecuali hari Jumaat, murid-murid akan berada di dataran perhimpunan selama 20 minit untuk membaca sebagai pengisian Program Suluhan Minda. Mereka dikehendaki membaca apa-apa sahaja bahan yang sesuai sebelum masuk kelas. Sebelum itu, salah seorang murid terpilih akan mengulas bahan yang dibaca untuk dikongsikan dengan rakan-rakan mereka. Mudah-mudahan usaha murni ini mampu menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga sekolaha.

Isnin, 4 Januari 2010

MAKLUMAN 12: HARI PENDAFTARAN MURID BAHARU

Pada hari Sabtu yang lalu, iaitu pada 2 Januari 2010 pihak sekolah telah mengadakan majlis pendaftaran untuk murid-murid baharu bagi sesi persekolahan khususnya murid-murid Tingkatan 1. Majlis bermula jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran dan seterusnya dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Dipertua PIBG, Mejar (B) Tuan Hj. Ma'amin bin Ahmad sekali gus beliau mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa bekerjasama dengan pihak PIBG dan sekolah bagi kepentingan anak-anak mereka di sekolah ini.

Seterusnya ucapan Tuan Pengetua, Puan Azallah Mohd. Salleh yang menyampaikan maklumat tentang perkembangan semasa hal-hal yang berkaitan dengan organisasi, akademik, dan kokurikulum. Selepas itu, murid-murid dibawa oleh guru Tingkatan masing-masing ke kelas untuk sesi pendaftaran, pengurusan kelas, pengedaran buku teks, dan pungutan yuran. Sebahagian daripada ibu bapa turut mengambil kesempatan ini untuk membelikan buku dan alat tulis ntuk anak-anak mereka di koperasi sekolah yang turut beroperasi pada hari tersebut. Berikut disenaraikan guru-guru tingkatan satu yang diamanahkan pada tahun ini:

1 Rancangan Khas - Puan Dari'ah bt. Sulaiman
1 Anggerik - Puan Suhana bt. Zainuddin
1 Cempaka - Encik Azlan bin Abd. Kadir
1 Dahlia - Cik Doreen Lim
1 Kesuma - Puan Khaliyah bt. Mohd. Noh
1 Melur - Puan Noorhidayati bt. Sunggali
1 Orkid - Puan Nornizaimah bt. Mat
Pendikan Khas - Puan Afidah binti Kamisan

Yuran Tambahan:
1. Kokurikulum - RM8.00
2. Kertas Ujian Dalaman - RM20.00
3. Sukan Tahunan - RM8.00
4. Kegiatan Pendidikan Islam /Moral - RM8.00
5. Insurans - RM1.50
6. MSSM - RM4.00

Bayaran lain-lain:
1. Derma PIBG - RM20.00 (1 Keluarga)
2. Majalah Sekolah - RM10.00 (1 Keluarga)




Ahad, 3 Januari 2010

MAKLUMAN 11: TARIKH PEPERIKSAAN AWAM 2010

Tarikh Peperiksaan Awam 2010

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelajaran pada Khamis mengumumkan 21 hingga 23 Sept tahun depan sebagai tarikh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala 5 hingga 12 Okt tahun depan sebagai tarikh peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini berkata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berlangsung pada 22 Nov hingga 16 Dis tahun depan dan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) pada 22 dan 23 Jun tahun depan.

Katanya peperiksaan lisan Sijil Tinggi Pelajaran Agama Malaysia (STAM) akan diadakan pada 12 hingga 23 Julai, manakala peperiksaan bertulis pada 18 hingga 27 Okt tahun depan. "Tarikh tersebut mengambil kira keperluan cuti bagi perayaan-perayaan utama seperti Hari Raya Puasa, Hari Malaysia, Deepavali, Hari Raya Haji dan Awal Muharam sepanjang tempoh peperiksaan," katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Manifestasi Perdana Seni Khat 2009M/1430H di sini, Alimuddin berkata pihaknya telahpun membuat persediaan bagi mengekang penularan Influenza A (H1N1) di kalangan pelajar apabila sesi baru persekolahan bermula Isnin depan. "Sebagaimana yang dimaklumkan akan ada gelombang kedua, jadi sebagaimana yang berlaku pertengahan tahun ini, kementerian telahpun membuat persediaan sangat rapi dan telah bersedia lebih awal supaya wabak ini tidak akan berlaku lagi pada tahun 2010. "Termometer dan juga pembersih tangan memang sudah ada di sekolah, jadi pihak sekolah perlu memantau pelajar-pelajar yang disyaki demam atau selesema dengan menggunakan termometer yang telah dibekalkan," katanya.

Alimuddin berkata pada hari pertama persekolahan, pegawai di kementerian serta Jabatan Pelajaran Negeri khususnya yang diketuai oleh jemaah nazir sekolah dan pegawai jaminan kualiti pada kebiasaannya akan turun ke sekolah-sekolah untuk membuat pemantauan. "Melalui pemantauan itu kita akan mendapatkan maklumat tentang persediaan yang telah dilaksanakan dan mungkin ini sebagai satu langkah keselamatan kita bagi memastikan pelajar-pelajar tidak demam atau mendapat sebarang masalah semasa berada di sekolah," katanya. Manifestasi Perdana Seni Khat 2009M/1430H, pertandingan seni khat peringkat kebangsaan yang berlangsung pada 31 Okt lepas merupakan program anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) dengan kerjasama Kumpulan Utusan, Astro Oasis dan Radio IKIM. Seramai 30 pemenang dalam tiga kategori diumumkan hari ini yang membawa pulang hadiah wang tunai serta sijil penyertaan.


-- BERNAMA

Sabtu, 2 Januari 2010

MAKLUMAN 10: MESYUARAT GURU PERTAMA





Bertempat di Bilik Gerakan SMK Klebang Besar, mesyuarat guru pertama diadakan bagi menghadapi sesi persekolahan baharu 2010. Kesemua warga guru dan staf sokongan berkumpul di Bilik Gerakan pada peringkat awalnya untuk mendengar perutusan daripada Pengarah, Jabatan Pelajaran Melaka, Tuan Hj. Isa bin Hj. Abu, bermula jam 8.30 pagi. Terlebih dahulu dalam ucapan alu-aluan Tuan Pengetua, Puan Azallah Md. Salleh mengucapkan tahniah dan syabas atas kerjasama semua guru yang memberikan komitmen yang baik sepanjang tahun 2009. Beliau turut berbangga atas kejayaan sekolah dalam peperiksaan PMR yang diuar-uarkan sebelum ini dengan peningkatan sebanyak 5.3% berbanding dengan keputusan pada tahun lalu.

Tidak ketinggalan beliau memaklumkan perpindahan guru-guru SMK Klebang Besar ke sekolah lain termasuk Puan Haryati Abdullah, Cik Amiza Abd. Kadir, Encik Peter Lim Beng Choon, dan Puan Azlin. Selain itu, beliau turut mengumumkan perpindahan masuk guru-guru baharu ke sekolah ini yang terdiri daripada Cik Doreen Lim Chai Wen, Puan Faridah Bt. Hj. Mahmood, dan Puan Nurul Aznita bt. Kamaron Muhsin. Seperti biasa, mesyuarat pertama ini dimulakan dengan sesi taklimat daripada Tuan Pengetua tentang visi dan misinya sekali gus menggariskan beberapa dasar pelaksanaan untuk meningkatkan prestasi akademik dan koakademik di sekolah ini sepanjang tahun 2010. Selepas itu, diikuti pula dengan taklimat daripada Guru Penolong Kanan Akademik, Tuan Hj. Jailani b. Yusof, Guru Penolong Kanan HEM, Tuan Hj. Azmin Hassan, dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Khatijah Mohd. Shah. Mesyuarat ditangguhkan jam 12.30 tengah hari.

Jumaat, 1 Januari 2010

MAKLUMAN 10: KELAB PELANCONGAN SMKKB & MAJALAH LIBUR TERBAHARU

Tahniah kepada Guru Penasihat Kelab Pelancongan SMK Klebang Besar, Melaka, Puan Dzarifah Adnan dan ahli jawatankuasanya kerana mendapat liputan meluas di dalam majalah LIBUR, keluaran Januari 2010 terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. Semoga tahun baharu ini lebih banyak aktiviti yang mencabar dan menarik diadakan, serta lebih kerap untuk memberi peluang kepada pelajar melihat keindahan alam semula jadi di seluruh tanah air. Jangan lupa kalau ada lagi lawatan sambil belajar atau darmawisata bawalah daku bersama-sama untuk buat liputan secara langsung...hehe

Khamis, 31 Disember 2009

MAKLUMAN 9: PERUTUSAN KPPM

PERUTUSAN AWAL TAHUN SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2010 oleh KPPM

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat menyambut tahun baru 2010 kepada semua warga pendidik serta murid-murid sekolah.

Guru-guru serta Murid-murid yang dikasihi sekalian,

Izinkan saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan memulakan lembaran baru pada sesi persekolahan 2010. Kepada guru-guru, sambutlah anak-anak didik kita ini ke alam sesi persekolahan yang baru dengan minda yang terbuka dan dengan penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi insan yang cemerlang seperti yang diharapkan oleh ibu bapa mereka dan negara.

Kepada murid-murid sekalian, ingatlah, sebagai generasi pewaris negara usaha murni menuntut ilmu dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti baik di dalam bilik darjah mahupun gerak kerja di luar bilik darjah adalah satu usaha membentuk personaliti, ketrampilan diri dan jati diri sebagai anak Malaysia. Ibu bapa, guru, masyarakat bahkan negara akan sama-sama berasa bangga apabila murid-murid berjaya dalam pelbagai bidang yang dipelajari di sekolah.

Saya menyeru kepada semua murid rebutlah peluang dan segala kemudahan yang disediakan di sekolah untuk menyiapkan diri sebagai orang yang berilmu, beramal dan menyumbang kepada kemajuan diri, masyarakat dan negara. Modal insan yang cemerlang tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata, bahkan ianya adalah usaha yang berterusan yang perlu dipupuk, dibimbing dan diasah bakat seperti kata pepatah, melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Pepatah juga mengatakan, “Akar ilmu itu memangnya pahit tetapi buahnya adalah lazat”. Maka sebagai murid, anda semua yang seharusnya berusaha untuk menjadi orang yang berpelajaran kerana pencapaian dalam masa persekolahan merupakan kenangan yang paling manis untuk diimbau kelak.

Para guru dan murid-murid sekalian,

Yang muda dikasihi, yang tua dihormati adalah satu perpatah yang perlu dipegang oleh semua guru dan murid-murid. Guru selaku suri teladan perlulah menunjukkan kasih kepada anak-anak murid mereka. Guru sabagai satu personalia seharusnya dapat menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid semasa berkomunikasi dua hala supaya ianya ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan, dan tidak hanya menjadi tulisan di atas pasir, yang hilang apabila di tiup angin.

Dalam alaf nano teknologi ini, semua pendidik perlu menyiapkan diri untuk mengemaskinikan semua fakta dan ilmu yang hendak disampaikan dalam mata pelajaran masing-masing. Gunakanlah kemudahan teknologi komunikasi maklumat untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang di sampaikan satu peristiwa yang sangat menyeronokkan kepada semua murid, bahkan para guru juga turut memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa berinteraksi dengan murid-murid.

Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai profesion ini kerana ianya merupakan satu profesion amat mencabar. Kalau seorang tukang jahit salah menjahit baju, hanya sehelai baju yang rosak tetapi jika seorang pendidik salah memberi didikan, kesannya adalah kepada satu generasi pewaris negara. seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Dato' Usman bin Awang (1979), "Berburu ke padang datar, Dapat rusa belang kaki, Berguru kepalang ajar Ibarat bunga kembang tak jadi”

Saya ingin menyeru kepada guru untuk memberi dedikasi, komitmen, dan keprihatinan yang tinggi kepada semua anak-anak didik. Guru selaku orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dapat mengenal pasti potensi dan bakat yang ada dalam setiap anak murid. Maka guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menggunakan maklumat ini bagi menggilap bakat dan memperkukuhkan potensi diri murid-murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Para guru dan murid sekalian,

Dalam memastikan kualiti pendidikan dan perkhidmatan yang disampaikan kepada murid-murid, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan empat perkara sebagai fokus utama dalam bidang keberhasilan utama; iaitu Perluasan Prasekolah, Literasi dan Numerasi (Linus), Sekolah Berprestasi Tinggi, dan New deals for principals. Maka semua warga pendidik perlu menyambut perubahan yang sedang berlaku ini dengan tangan terbuka dan minda yang positif (positive mind-set) bagi memastikan semua yang di rencana dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan membuahkan hasil yang menunjukkan peningkatan dalam kualiti pendidikan di negara ini. Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan. Penyertaan guru dalam pelbagai wacana dan forum serta kegiatan di pusat-pusat kegiatan guru adalah satu usaha yang berterusan dan perlu difokuskan untuk menambah ilmu serta pengetahuan kerana guru bukan saja sebagai penyampai ilmu bahkan orang yang bertanggungjawab untuk membentuk kaedah pemikiran positif dalam kalangan anak-anak murid. Pepatah ”jangan diberi ikan, tetapi ajarlah memancing ikan” adalah satu pepatah yang sangat hampir dengan profesion perguruan.

Para guru dan murid-murid yang saya kasihi,

YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran menyarankan sukan perlu diperkasakan. Maka bagi mencapai hasrat tersebut para guru dan murid-murid seharusnya bergiat aktif dalam pelbagai bidang sukan mahupun aktiviti kokurikulum sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dan juga kecemerlangan sukan untuk negara.

Kepada murid-murid yang baru sahaja berjaya dalam peperiksaan UPSR dan PMR, saya mengucapkan tahniah dan teruskan perjuangan anda dalam usaha mencari ilmu dan pengalaman. Bagi murid-murid yang baru memasuki Tahun 1, jangan risau dan bimbang kerana seperti kakak dan abang-abang anda, sudah pasti pengalaman persekolahan akan menjadi satu yang menyeronokkan kerana anda akan memperoleh ramai kawan-kawan baru serta mendapat ilmu pengetahuan yang amat berguna sebagai persiapan menghadapi hari muka.

Harapan saya, kepada semua guru dan murid, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memajukan diri, masyarakat dan negara dalam semangat gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Dan Pencapaian Diutamakan”.




Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
4 Januari 2010, bersamaan 18 Muharam 1431